Dia berikan seorang hambaNya, seorang yang pernah mengajar aku erti bahagia, erti sayang. Tersenyum sendirian aku mengarang, tetapi hati masih lagi seperti direndam tidak tahu dimana kurangnya. Ini semua pinjaman. Pinjaman yang kekal beberapa tahun. Jatuh, bangkit, jatuh, bangkit semula, jatuh........ dan masih berusaha untuk mengangkat diri ini. Setahun aku curah kesabaran, segala aku berikan untuk melihat dirinya bahagia, terasa sempurna, dan terjaga. Yang menjadi ukuran adalah kasih sayang aku, bukannya helaian kertas yang diberikan nilai setiap satu. Usaha demi usaha selama itu, masih belum memuaskan hatinya. Masih gelap, aku masih lagi samar-samar seorang manusia yang mempunyai perasaan di hadapannya. Menunggu dan terus menunggu, kata janji yang pernah terluah masih lagi aku pegang kukuh, terkadang terngiang setiap daripada semuanya di telinga. Terasa kehilangan terlalu lama, percayalah apa yang terbuku di hati ini, sayang yang aku rasakan sejak dari mula, masih kukuh, masih penuh yang mungkin telah membuat diri ini terasa dia masih ada walau hakikat jelas meyakinkan bahawa sayangnya pada aku sudah pudar. Sebak dada bila ditarik semua kehadapan, aku masih mencari jawapan.
Perasaan yang Dia kurniakan ini, terlalu indah untuk aku lupakan. Dulunya air mata yang mengalir, terlalu berharga buat dia. Dia yang meredakan, tidak membenarkan walaupun setitik untuk menitik di pipi, tangan yang dikurniakan kepadanya yang menjadi tempat air mata ini bertakung. Aku dan dia dipisahkan suatu ketika dahulu untuk alasan yang tidak pernah aku ketahui. Takdir Allah menemukan kami semula, kami diberikan peluang demi peluang. Peluang ini aku hargai sepenuhnya, walaupun aku tahu permulaan semula aku dan dia tidak sesempurna yang dia mahukan. Mohon diampunkan..
Dia diletakkan di tempat teratas dalam segala hal. Aku berusaha setiap hari, setiap ketika hanya dia yang terlintas di hati, kepala. Saat ini aku berada di tahap terbawah dalam hatinya, aku tidak lagi dia fikirkan sepertimana yang aku fikirkan. Tiada siapa yang mengerti, jika aku bercerita, mereka belum tentu dapat rasakan apa yang aku rasa. Saat ini, yang mampu aku lakukan ada berdoa supaya dia tidak merasakan apa yang pernah aku rasa. Saat ini juga, aku tidak mahukan air matanya mengalir, aku tidak mahukan dia bersedih. Aku mahukan yang terbaik untuk dirinya. Bisiklah apa saja, pasti aku lakukan agar mampu aku alihkan deritanya. Selagi aku masih mampu, asal dia terus bahagia dengan orang yang menggantikan tempatku dihati dia. Aku hanya mampu menangis tanpa suara yang mampu dia dengari.
Ya Allah, kalau inilah yang Kau takdirkan untukku, Kau berikanlah yang terbaik untuknya. Aku hanya mahukan yang terbaik untuknya. Yang terbaik. Bukakanlah pintu hatiku untuk memaafkannya. Hanya padamu aku bermohon Ya Allah, dengan segala yang aku ada, kau kurniakanlah kebahagiaan kepadanya walaupun kebahagiaan itu akhirnya memberi kesedihan kepadaku. Aku percaya Ya Allah, Kau yang memberi kebahagiaan dan keindahan ini, Kau juga yang akan menarik segala kesedihan yang aku rasakan ini. Mungkin aku ditakdirkan untuk membahagiakan orang lain selain dia, tetapi Kau kekalkanlah didalam hatinya, yang aku pernah wujud walaupun hanya seketika. Dia redha dengan apa yang terjadi, aku harus redha. Kau ciptakanlah yang terbaik untukku juga :)
No comments:
Post a Comment